Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Penantian yang Panjang

January 21, 2008

Muhammad Luqman Hakim

Kami diijabkabulkan pada pagi 30 Mei 1998. Keesokan harinya, kami dua mempelai diraikan di rumah Mak dan Abah. Lama sebelum itu aku dah berpesan kepada Mak dan Abah yang aku tidak suka disambut dengan majlis besar-besaran. Lebih-lebih lagi bersanding, aku memang bencikan persandingan. Aku benar-benar tidak mahu rumahtangga yang aku bina dimulai dengan khurafat dan apa-apa jua bentuk perkara yang sekutu dengannya. Permintaanku pada Mak dan Abah, buat kenduri baca tahlil dan doa selamat sahaja, itu sudah memadai bagiku. 

AlhamduliLLAH, Mak dan Abah memang memahami jiwaku. Malam sebelum aku bertandang untuk diijabkabulkan, kami sekeluarga bersama saudara mara dan orang tua lelaki sekampung berhimpun di rumah Mak dan Abah untuk membaca tahlil dan doa selamat. Dan dua hari kemudian, apabila kami dua mempelai di sambut tiba, kami sekeluarga bersama saudara mara dan orang tua perempuan sekampung berhimpun untuk membaca tahlil, doa selamat, berzanji dan berkhatam al-Quran. Majlis itu benar-benar ringkas. Memang itulah jiwaku. Aku sukakan begitu.

Ada juga jiran-jiran dan saudara mara yang bertanya, “kenapa terlalu ringkas? Tidakkah nanti Hisham berkecil hati kerana terlalu ringkas?…”. Mak dan Abah dengan senyuman menjawab “…dah memang itu kehendak dia…”.  Biarpun ada yang berkata, “…kan kahwin tu cuma sekali… lagipun ia benda besar dalam hidup, kenapa tak disambut besar-besaran?…”. Aku tahu ia cuma sekali, dan aku tahu ia benda besar, sebab itulah aku mahu ia menjadi refleksi sebenar hajat dan cita-cita rumahtanggaku. Aku nak rumahtangga yang serba ringkas, tapi kalau boleh soleh, bahagia dan signifikan.  

Bermula dengan permulaan yang ringkas itulah, kami melayari hidup rumahtangga yang bahagia. Kekadang bergelora juga, tapi itulah fitrahnya lautan – tiada gelora, tiadalah syukurnya kepada ketenangan. Sesekali lidah tergigit, tapi tak pernah pula gigi dan lidah bermusuh atau bertelagah berpanjangan. Ah, biasalah tu, fitrah berumahtangga.  

Ujian yang paling besar kami harungi barangkali ialah penantian untuk seorang cahayamata. Penantian yang bukan kepalang, bukan setahun, bukan juga tiga, bukan juga lima, tetapi enam tahun. Sepanjang tempoh itu, isteriku mengalami keguguran sebanyak tiga kali. Setiap kali keguguran itu berlaku, setiap kali itulah tergambar kekecewaan yang sangat dalam di wajah isteriku. Sakit? Tentu sekali! Aku tidak rasa bagaimana sakitnya, tapi aku tahu ia tentu sakit. Sangat sakit. 

Sakit itu bukannya sehari dua atau sebulan dua, tapi berpanjangan. Malah ia melewati batas rasa yang terjangkau oleh saraf badan. Malah sakit yang paling amat adalah sakit di benak hati dan fikiran. Sakit yang datangnya bukan dari keguguran itu, tapi sakit yang datangnya dari mulut insan jahil. “…dia orang tu bukan apa, sengaja tak mahukan anak lagi, nak enjoy berdua…”, “…wah, syoknya kamu berbulan madu berdua, lama berbulan madu tentu seronok, macam kami ni, bulan madu sekejap je, setahun dah ada pengacau…”. SubhanaLLAH, kami diuji dengan kata-kata begitu. Kami sabar. Sungguh-sungguh kami bersabar. Tapi tidak aku nafikan yang ia betul-betul menyakitkan. Memang sakit! 

Malah ada pula rakan-rakan yang selalu membisikkan untuk aku berkahwin lagi. “Sham, serupo mu ni, mu layok kahwin lagi, perkaro zuriat ni penting…”. Setiap kali nasihat serupa itu aku dengar, aku sambutnya dengan senyuman. Jauh di benak hatiku, aku yakin yang banyak lagi nikmat ALLAH yang belum aku syukuri sesungguh-sungguhnya, apakah adil untuk aku berkahwin lagi semata-mata kerana aku lewat mendapat satu lagi nikmat ALLAH? Aku selalu berbisik dengan isteriku, “…ingat yang, anak tu rezeki Tuhan, kalau Dia nak bagi alhamduliLLAH, kalau tak, rezeki yang lain banyak yang belum kita syukuri sesungguh-sungguhnya… entah-entah kerana syukur kita belum cukup, sebab tu Tuhan belum bagi kita rezeki yang satu ni…”. 

Pada 2hb Mac 2004, lebih kurang jam 4 pagi, isteriku melakukan ‘urine test’ kerana sudah agak lama juga dia ‘tidak datang bulan’. Hasil ujian positif. Aku nampak wajah isteri terlalu gembira. Riang. Ceria. Aku juga tentunya turut gembira. Sangat gembira. Seawal lapan pagi kami bergegas ke klinik untuk pastikan berita gembira itu. AlhamduliLLAH, benar, ia benar. Kami akan menjadi ibu dan ayah. Kali ini kami akan menjaga kandungan sebaik mungkin. Ya ALLAH, makbulkanlah permintaan kami, jadikanlah kami ibu dan ayah, selamatkanlah kandungan isteriku kali ini, lahirkanlah ia menjadi seorang bayi yang sempurna sifat, akal dan hatinya… 

Pagi itu, aku terpaksa tinggalkan isteriku di Sabah dalam suasana yang sangat gembira. Aku ke lapangan terbang untuk ke Shah Alam. Ikutkan hati, mahu sahaja aku batalkan perjalanan itu. Masakan aku mahu pergi dalam saat kegembiraan seperti itu. Tapi aku pergi juga. Isteriku juga yang bersungguh-sungguh mahu aku teruskan perjalanan itu. “Abang mesti pergi Shah Alam… manalah tahu, rezeki anak kita, kita akan berjaya…”. 

Sebenarnya aku ke Shah Alam untuk bertemu dengan Dato’ Seri Naib Canselor (DSVC). Aku mahu merayu kepada DSVC agar segera meluluskan perpindahanku ke Semenanjung. AlhamduliLLAH, barangkali memang betul itu rezeki anak kami, DSVC bersetuju untuk meluluskan perpindahanku ke UiTM Johor. DSVC menulis di dalam surat rayuan ku “Puan Rabiah, Pengarah & Dekan sokong. Tiada Halangan, Sila uruskan”. 

Maka jadilah hari itu, Selasa 2 Mac 2004, hari yang sangat bersejarah dalam hidupku. Hari yang memberi sinar terang untuk dua penantian yang sangat panjang, penantian 6 tahun untuk seorang cahayamata; dan penantian 9 tahun untuk kepulanganku ke kampung kelahiran.

Ya Allah, ampunkanlah setiap kelalaian kami, sesungguhnya acapkali benar kami lalai dari sentiasa mengingati dan mensyukuri nikmatMu. Atas segala limpahan rahmat dan kasih sayangMU, kami memohon nikmatMu berpanjangan sentiasa. Namun, kami mohon perkenanMu, agar tidaklah kami terlalai dengan segala nikmat pemberianMu yang tiada batas hitungannya itu. Amin…

Advertisements

Isteriku tercinta

January 18, 2008

Ayang

Pada pertengahan tahun 1994, aku telah menjalani latihan praktikal (mengajar) di sebuah sekolah menengah di daerah Muar (Sekolah X). Aku ditugaskan untuk mengajar Matematik Tambahan dan Matematik Moden tingkatan 4. Jarang sekali seorang guru praktikal diberikan tanggungjawab mengajar subjek teras di tingkatan atas seperti itu, tetapi mengikut tuan pengetua, “… kita tidak ada pilihan lain, guru yang mengajar subjek-subjek itu sedang cuti bersalin, kami mengharap awak dapat membuat yang terbaik untuk menggantikan dia…”. Mulanya berdebar juga, tapi setelah mengamat-amati silabus yang perlu diajar, tidaklah mencabar mana. 

Di Sekolah X pada ketika itu, terdapat hanya satu kelas aliran sains, pelajarnya pula hanya 12 orang sahaja. Seronok aku mengajar kelas itu – kerana saiznya yang kecil – mudah aku mengendalikan kelas tanpa banyak kerenah dan masalah. Apatah lagi kebanyakan mereka memang tidak banyak kerenah yang memeningkan.

Melihat kepada kedudukan sekolah yang terlalu hampir dengan bandar, aku sememangnya tidak selesa dengan sikap dan disiplin sebahagian pelajar. Kekadang aku begitu meluat menyaksikan drama-drama ‘cinta monyet’ yang semacam bergayutan di sana-sini. Ada juga watak-watak yang semacam mencari-cari identiti lalu terkeliru di tengah-tengah himpitan budaya ‘bandar’ yang moden. Tidak semua, tapi sebahagian sahaja pun sudah seperti menyesakkan nafasku dan kekadang terasa begitu mual sekali. Tapi di kelas itu, kelas yang kecil itu, aku berasa selesa sekali. Lapang. Ceria. Gembira.  

Di situlah, di dalam kelas itulah, aku mula mengenali seorang pelajar – remaja perempuan – yang gemar sekali bertudung labuh. Aku yakin dia bukan dari keluarga berada, tapi aku cukup yakin yang hatinya sangat kaya. Di tengah kegilaan remaja memakai jeans, berbaju mahal tetapi singkat, tebal tetapi ketat, ada pula seorang yang begitu sederhana dan bersusila seperti gadis dalam kisah melayu lama-lama. Bagaimana agaknya seekor ikan di tengah lautan yang masin, tidak pula berubah seperti alam habitatnya. Ah, dia memang istimewa! Memang istimewa! 

Selalu di kesempatan yang benar-benar kebetulan, aku memang suka mengamati dia. Kekadang, kesempatan itu aku reka-reka sendiri, tapi kemudiannya akan aku jadikan ia seperti kebetulan pula. Bukan berlakon. Sesungguhnya bukan. Aku tidak boleh – pada bila-bila masa dengan apa jua cara – menzahirkan atau mengisyaratkan rasa senangku dengan dia. Itu soal etika. Aku tidak mahu sekadar menjadi guru. Aku mahu menjadi guru beretika. Biarlah dia belajar dahulu, jangan diganggu masa depannya! Yakinlah dengan qadha dan qadar Tuhan, bahawa kalau jodoh tentu tidak ke mana. 

Ketentuan Tuhan menunjukkan ia sesungguh-sungguhnya benar! Selepas tamat praktikal di sekolah itu, kami langsung tidak berhubungan. Maksudku dalam konteks ‘itu’. Berhubung itu ada, sekali sekala, tapi nada dan butirnya begitu formal – nasihat, leteran, teguran dan sesekali gurauan ‘terbatas’ guru dengan muridnya.

Apabila aku merantau pada tahun berikutnya ke Bumi di Bawah Bayu, hubungan kami langsung terputus. Hinggalah dua tahun berikutnya apabila aku (dan seorang rakan karib) mendapat gangguan ‘alam halus’ dari penduduk tempatan, aku terus nekad untuk berumahtangga selepas peristiwa itu. Aku terus teringatkan dia. Lalu ku tanya Mak dan Abah “Mak, Abah, kalaulah sekarang dah tiba masanya untuk saya berkahwin, adakah Mak dan Abah dah ada pilihan?”. Respon Mak dan Abah memang dah ku duga, “…engkau yang nak kahwin, engkau lah cari sendiri…”. Lalu aku beritahu yang aku dah ada calonnya.  

Lantas aku cari jalan untuk menghubunginya semula, dan matlamatku cuma satu. Berbekalkan matlamat yang satu itu, aku gagahkan diri untuk bertanya kepadanya “…saya nak meminang awak. Kalau setuju, kita mulai perhubungan kita di sini, kalau tidak, kita tamatkan perhubungan kita di sini juga… tak ada cinta-cinta, cinta hanya untuk sebuah rumahtangga… kalau setuju, kita berumahtangga dan kita bercinta…”. Seperti tidak ada diplomasi, tapi itulah yang aku yakini cara sebenarnya – cinta hanya untuk sebuah rumahtangga. Cinta tanpa rumahtangga adalah bukan cinta fitrah, itu cinta kotor, dan bila kotor ia akan mendorong kepada kejijikan dan dosa. 

Berbekalkan restu Mak dan Abah dari kedua belah pihak, kami selamat diijabkabulkan pada pagi 30 Mei 1998. Satu perpisahan yang panjang, diakhiri dengan ikatan manis yang sangat membahagiakan. Namun, seminggu kami bersama, kami berjauhan semula. Aku pulang ke Negeri di Bawah Bayu dan dia kembali ke kampus pengajiannya di Bumi Selat Tebrau. Ah, lautan itu memisahkan kami. Tetapi kisah ‘keajaiban ikan’ di lautan itulah yang sebenarnya menemukan kami. 

Rindu.  Sesungguh-sungguhnya rindu.  

Semoga kami terus bahagia, amin…

Keluarga GURU

January 17, 2008

Gambar Mak dan Abah 
Aku dilahirkan pada 9 Julai 1972 di dalam sebuah keluarga yang pada ketika itu agak susah. Mak dan Abah menoreh getah seawal sebelum subuh, selepas selesai menoreh, bekerja pula di ladang kelapa sawit sebagai pemetik buah (kelapa sawit). Selepas zohor, Mak dan Abah akan ke bendang pula untuk bersawah. Begitu pun susah, rasanya rezeki yang Mak dan Abah peroleh penuh dengan keberkatan kerana ia betul2 dari titik peluh dan keringat sendiri.

Mak dan Abah dikurniakan 5 orang cahaya mata, 3 lelaki dan 2 perempuan – satu kombinasi yang pada pandanganku sangat ideal – dan aku adalah cahaya mata yang terakhir (bungsu, atau dalam bahasa ibunda kami, ‘ragil’). Mak mempunyai 3 orang adik beradik dan Mak adalah yang bungsu, manakala Abah mempunyai 6 orang adik beradik dan Abah adalah yang kelima. Aku anak bungsu dan aku juga anak kelima, mudah-mudahan aku mewarisi segala kelembutan, kasih sayang, kesetiaan, ketaatan dan kecekalan Mak; juga disiplin, ketegasan, kepimpinan dan kewibawaan Abah.

AlhamduliLLAH, berkat rezeki Mak Abah membanting tulang tanpa keluh dan kesah, sesal dan gundah, kesemua kami telah mendapat pendidikan formal yang sempurna – pendidikan kebangsaan dan pendidikan agama (sekolah agama negeri Johor). Anak sulung, Kak Ani (Mahani) sekarang menjadi seorang guru dan sudah berumahtangga dengan Abg Ghani (Abdul Ghani) yang juga seorang guru; Anak kedua, Abang Puk (Ahmad Fuad) juga bertugas sebagai seorang guru dan sudah juga berumahtangga – isterinya, Kak Yah (Zanariah) juga seorang guru; Anak ketiga, Abang Am (Hamzah) juga seorang guru dan sudah juga berumahtangga – isterinya, Kak Azah (Nor Azah) juga seorang guru; Anak keempat, Kak Zie (Mazidah) juga seorang guru (Ustazah) dan sudah juga berumahtangga – suaminya Abg Razak (Abd Razak) juga seorang guru (Ustaz); terakhir, anak kelima, itulah aku. Dulu aku juga bertugas sebagai seorang guru (di SMK Gadong, Beaufort, Sabah) sebelum kemudiannya (selepas 3 tahun menjadi guru) aku berhijrah ke UiTM menjadi pensyarah – guru juga-lah tu! Aku juga sudah berumahtangga, dengan isteri tercinta Mizah (Marizah) yang kini juga seorang guru. Maka jadilah kami sekeluarga, “KELUARGA GURU”.

Pernah terfikir di benakku, yang kami semua menjadi guru, antara lain kerana doa dan kerana singkapan sejarah silam yang berkait rapat dengan kerjaya guru. Dengarnya dulu Abah hampir-hampir menjadi guru, tapi dek kerana pada masa itu harga getah sangat tinggi, maka Abah memilih haluan untuk menoreh getah. Aku yakin, bukan kerana Abah nak kaya raya, tapi kerana nak menjamin kesempurnaan hidup keluarga dan anak-anak. Akhirnya Abah tidak menjadi guru, tapi alhamduliLLAH, kesemua anak menantunya adalah guru.

Aku pernah terbaca, entah di mana, tapi aku benar pasti yang aku pernah terbaca di mana-mana, bahawa panggilan itu adalah satu doa. Seingat aku, sewaktu zaman kanak-kanak dulu, Abah selalu dipanggil ‘cikgu’. Aku yakin, itu adalah doa, bukan sekadar satu doa tapi doa yang berulang-ulang, agaknya setiap kali panggilan itu didengar, Abah mengaminkannya (agaknya!), mungkin juga Malaikat mengaminkannya… dengan izin ALLAH, kesemua anak menantunya adalah guru.

 Anak-anak Mak dan Abah

Ya ALLAH, ampunkanlah sekalian dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil dahulu, amiin